Thursday, November 1, 2007

Kenyataan Media



Himpunan 100,000 Rakyat: Pemuda PAS Selangor Semarak Kebangkitan Rakyat


SHAH ALAM 30 Oktober – Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) bertekad menggerakkan kehadiran maksimum rakyat di Selangor bagi menghadiri Himpunan 100,000 rakyat di Dataran Merdeka anjuran Gabungan Menuntut Pilihanraya yang Adil dan Bersih (BERSIH) 10 November ini.


DPPNS telah menjalankan usaha hampir 3 bulan yang lalu bagi menggerakkan kebangkitan rakyat di Selangor untuk menghadiri himpunan rakyat tersebut. Himpunan ini djangka akan dihadiri oleh ratusan ribu rakyat dari seluruh Negara dan kepimpinan PAS Negeri Selangor mensasarkan kehadiran 40,000 rakyat jelata dari negeri ini.


DPPNS mula mengedarkan hampir 100 banner di seluruh 12 kawasan di negeri ini, bersama dengan 50,000 poster dan 100,000 handbill untuk diedarkan di seluruh negeri oleh Pemuda Pas Negeri Selangor.


Sehubungan itu, seluruh rakyat dari seluruh lapisan masyarakat dijemput hadir bersama sama pada 10 November 2007 ini, pada jam 3 petang di Dataran Merdeka.


Sementara itu, DPPNS kesal dengan kenyataan Ketua Polis Bandaraya Kuala Lumpur Datuk Zulhasnan Najib Baharuddin yang memberi amaran keras kepada rakyat supaya tidak menghadiri himpunan anjuran BERSIH ini atas alasan keselamatan, boleh menggugat keselamatan negara serta mengganggu ketenteraman awam.


DPPNS berasa pelik dengan kenyataan yang dangkal dan bersifat provokasi daripada PDRM ini yang seolah-olah tidak pernah bertugas mengawasi perhimpunan yang melibatkan kehadiran ramai rakyat di seluruh Negara, jika benar dengan jumlah kehadiran yang ramai itu yang menjadi punca ia dikatakan mengganggu ketenteraman awam ataupun mengancam keselamatan negara.


Konsert JomHeboh anjuran TV3 yang diadakan setiap bulan di seluruh Malaysia mencecah kehadiran tidak kurang 50,000 orang pada satu-satu masa. Ditambah pula dengan kehadiran artis pujaan ramai,kehadiran yang luar biasa dilihat di tapak-tapak pesta tersebut, sehingga kadangkalanya penganjur sendiri tidak dapat mengawal keghairahan penonton terhadap persembahan tersebut.


Begitu halnya dengan sambutan Tahun Baru saban tahun yang biasanya berakhir dengan pelbagai masalah sosial seperti botol-botol arak dan kondom yang bergelimpangan diatas jalanraya, mengapa pihak polis tidak pernah mengklasifikasi perhimpunan tersebut sebagai menganggu ketenteraman awam lantas mengeluarkan kenyataan amaran supaya rakyat tidak menghadiri perhimpunan tahunan tersebut?


Bagaimana pula dengan sambutan kemerdekaan ke 50 Malaysia anjuran pemimpin UMNO dan Barisan Nasional di Dataran Merdeka baru-baru ini yang menjangkau kehadiran lebih 100,000 termasuk pelancong, pekerja, mahupun pendatang asing dengan izin ataupun tanpa izin?


Kenapa pihak PDRM tidak mengeluarkan kenyataan yang sama dengan menghalang orang ramai menghadiri sambutan tersebut? Adakah kerana himpunan 100,000 rakyat untuk menyambut ulangtahun kemerdekaan yang jelas hanya menonjolkan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sebagai pihak yang berjuang untuk kemerdekaan dianjurkan oleh UMNO dan Barisan Nasional, Datuk Zulhasnan Najib diam membisu dan memberikan sokongan?


Lupakah agaknya Datuk Zulhasnan kepada kehadiran hampir 80,000 orang peminat bolasepak tanahair ketika melihat pasukan MyTeam menentang pasukan Malaysia bawah 23 tahun, yang merupakan sebuah projek politik Naib Ketua Pemuda UMNO dan juga menantu Perdana Menteri, pihak PDRM menerusi FRU dan cawangan trafik memberikan kerjasama sepenuhnya?


Adakah hanya kerana pehimpunan rakyat yang ramai ini dianjurkan oleh sebuah gabungan parti-parti politik dan NGO yang tidak sehaluan dengan Barisan Nasional, yang hanya ingin melihat demokrasi yang subur di Malaysia, yang menganjurkan perhimpunan aman sebagai simbolik menuntut pilihanraya yang lebih adil kepada seluruh rakyat Malaysia, mereka dianggap musuh Negara yang mengancam keselamatan Negara. DPPNS ingin bertanya apakah pemahaman Datuk Zulhasnan tentang "musuh Negara"? Adakah mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengan Barisan Nasional itu dianggap musuh Negara? Musuh Negara atau Musuh BN?


DPPNS ingin menjelaskan bahawasanya perhimpunan aman melalui siri-siri himpunan, ceramah, penyerahan memorandum dan ucapan umum adalah sebahagian daripada amalan demokrasi yang dibenarkan oleh perlembagaan Negara dan setiap perhimpunan yang dianjurkan oleh pihak pembangkang dan NGO ini biasanya akan berakhir dengan baik, terkawal dan tanpa insiden, kecuali diganggu oleh pihak polis menerusi arahan UMNO dan BN seperti yang berlaku di ceramah anjuran BERSIH di Batu Burok September lalu.


DPPNS juga menasihatkan Datuk Zulhasnan Najib supaya jangan lebih memburukkan imej PDRM yang semakin buruk dimata rakyat Malaysia yang sekaligus membenarkan dakwaan bahawa Malaysia ini adalah Negara polis. PDRM tidak lagi dilihat cenderung mempastikan keselamatan rakyat, yang diancam oleh pelbagai bentuk jenayah tetapi lebih dilihat menjadi alat politik kepada UMNO dan Barisan Nasional.


DPPNS akan memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak keselamatan untuk mengawal kehadiran rakyat serta aliran trafik sepanjang perhimpunan aman ini dan petugas DPPNS akan membantu pihak keselamatan sekiranya berlaku sebarang insiden yang boleh menganggu perhimpunan aman ini.


Kepada seluruh rakyat Malaysia , jangan lupa 10 November di Dataran Merdeka.Fil Islam,Mohd Sany HamzanKetua PeneranganDewan Pemuda PAS Negeri Selangor

No comments: